Tahukah anda, hanya orang yang tertentu sahaja dapat mencium wangian syurga?
Siapakah golongan itu?
Ya, seperti yang kita telah ketahui para syuhada' adalah golongan yang dapat menghidu bau syurga meskipun wangian itu didapatinya daripada jarak yang jauh.
Ibn Hajar menukilkan di dalam kitab Fath al-Bari bahawa, "Sesiapa yang mendapati wangian syurga dari jarak yang lebih jauh, itu petanda bahawa darjatnya lebih tinggi."
Selain para syuhada', siapakah lagi yang berpeluang untuk menikmati wangian syurga ini?
Tidak lain dan tidak bukan tentulah para muqarrabin, iaitu orang yang sangat dekat dengan Allah s.w.t.
Allah s.w.t. berfirman, mafhumnya: "Adapun jika dia termasuk dalam golongan al-muqarrabin, maka dia memperoleh kerehatan, wangian dan syurga yang penuh kenikmatan".
(Surah al-Waqi'ah 56:88-89)
Allahu akbar! beruntungnya jika kita termasuk di dalam golongan tersebut kan?...mudah-mudahan, In Shaa Allah....
Baik, siapakah pula golongan yang diharamkan wangian syurga? Tentu ramai yang nak tahu, termasuklah saya dan mudah-mudahan kita tidak termasuk di dalam golongan ini.
Siapakah mereka ini?
Mereka adalah orang yang benar-benar rugi sahaja yang diharamkan daripadanya, iaitu orang yang sangat hina dan rendah darjatnya di sisi Allah s.w.t. disebabkan dosa yang mereka lakukan. Maka mereka menjadi lebih hina daripada haiwan.
Rasulullah s.a.w. menceritakan berkenaan golongan ini dalam beberapa hadithnya. Salah satunya ialah wanita-wanita yang telah dicabut rasa malu dari hati mereka sehingga rela mendedahkan aurat di hadapan awam.
Apabila menyebut sifat-sifat ahli neraka, Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud: "Dan wanita-wanita yang berpakaian tetapi telanjang, berjalan dengan lenggang lenggok, kepala mereka seperti bonggol unta yang miring. Mereka tidak akan masuk syurga dan tidak dapat mencium wangiannya. Padahal wangian syurga boleh dihidu daripada perjalanan sejauh begini dan begini (sangat jauh)." (Riwayat Muslim)
Seterusnya ialah para pengkhianat yang tidak menghormati perjanjian damai antara kaum Muslimin dengan orang bukan Islam di dalam sesebuah negeri.
Daripada Abu Bakrah, Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud: "Sesiapa yang membunuh ahli zimmi bukan pada masanya, maka ia tidak akan dapat hidu wangian syurga. Padahal wangian itu dapat dihidu dari jarak 70 tahun perjalanan." (Riwayat al-Nasa'i dan Abu Daud)
Begitu juga penuntut ilmu agama yang tidak menggunakannya untuk mendekatkan diri kepada Allah, malah menggunakannya untuk meraih kemasyhuran dan harta dunia.
Daripada Abu Hurairah, Nabi s.a.w. bersabda yang bermaksud, "Sesiapa yang menunut ilmu yang diharapkan redha Allah padanya, namun ia mempelajarinya untuk mendapatkan keuntungan dunia, maka ia tidak akan dapat menghidu bau wangian syurga." (Riwayat Abu Daud))
Semua sifat ini sangat dibenci Allah s.w.t. Sesiapa yang memiliki salah satu daripada sifat-sifat tersebut, maka dia akan dijauhkan dari syurga sehingga wangian bau syurga pun tidak dapat dihidunya.
Azu Naurah
012 6705753
azunaurah@gmail.com
No comments:
Post a Comment